PERSEPSI kerjaya sektor perladangan tidak popular  menyebabkan tenaga kerja tempatan enggan menceburkan diri. FOTO Arkib NSTP
PERSEPSI kerjaya sektor perladangan tidak popular menyebabkan tenaga kerja tempatan enggan menceburkan diri. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Kerjaya tidak popular, kotor dan bukan di bawah penyaman udara.

Itu persepsi berhubung kerjaya di sektor perladangan menyebabkan warga tempatan kurang minat menceburinya biarpun ia menawarkan pulangan jangka panjang yang lumayan.

Fakta yang perlu diakui adalah negara kekurangan 500,000 tenaga kerja dalam sektor perladangan dan ia mengganggu perkembangan industri ini pada masa depan.

Akibatnya, sektor perladangan banyak didominasi tenaga kerja asing berbanding tenaga kerja tempatan yang makin mengecil setiap tahun.

Ikuti wawancara Timbalan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) PROF DATUK DR MAD NASIR SHAMSUDIN bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN bagi mengupas isu ini.

Faktor penolakan tenaga kerja tempatan terhadap sektor peladangan?

Pada pandangan saya, tenaga kerja tempatan bukan sahaja menolak berkerja di sektor perladangan, tetapi semua kerja yang diklasifikasikan sebagai 3D (kotor, berbahaya, sukar) seperti pembinaan perkilangan dan perkhidmatan pembersihan.

Ada juga persepsi kerjaya ini tidak popular dalam kalangan masyarakat sehingga ia membawa kepada penolakan tenaga kerja tempatan untuk menceburkan diri.

Pada pandangan atau mata kasar mereka, sektor perladangan ini kotor, susah dan perlu sentiasa di bawah terik matahari sedangkan sudah banyak evolusi berlaku dalam sektor berkenaan termasuk penggunaan jentera pintar untuk urusan perladangan.

Fakta ini tidak ramai orang kita sedar, sebaliknya mereka masih meletakkan persepsi sama seperti sedekad atau dua dekad yang lalu apabila menyentuh tentang sektor perladangan.

Bagaimana mahu mengubah persepsi 3D ini?

Dengan adanya tenaga kerja asing yang relatifnya upah murah, sektor perladangan agak perlahan untuk menggantikan buruh dengan teknologi atau istilahnya labour-technology substitution.

Ada dua pendekatan untuk mengubah persepsi ini. Pertama, menaikkan kadar upah tenaga kerja dalam sektor perladangan.

Faktor gaji serta upah ini sememangnya memainkan peranan paling besar dalam sektor berkenaan untuk menarik minat tenaga kerja tempatan, sekali gus mengubah tanggapan awal bahawa perladangan tidak menjanjikan upah lumayan seperti kerjaya popular lain.

Kedua, pengusaha ladang boleh mengamalkan pertanian pintar atau smart farming yang menjanjikan kadar keluaran hasil ladang yang lebih baik dengan alat bantu teknologi dan sebagainya.

Kedua-dua faktor ini sangat penting supaya persepsi tentang perladangan dapat diubah secara keseluruhannya.

Wujud pengaliran wang keluar jika sektor perladangan terus menggunakan tenaga kerja luar. Komen?

Sejumlah 32,000 pekerja asing akan dibawa masuk untuk mengisi kelompongan tenaga kerja dalam sektor perladangan secara berperingkat.

Ini adalah tambahan kepada bilangan pekerja asing yang sedia ada yang dianggarkan lebih daripada 265,000 pekerja.

Contoh, jika setiap pekerja menghantar RM1,000 ke negara mereka setiap bulan, ini menyebabkan pengaliran keluar wang yang banyak.

Pengaliran keluar wang ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita dan alangkah baiknya jika tenaga kerja itu diisi oleh warga tempatan.

Hasil pendapatan tenaga kerja tempatan ini boleh digunakan bagi merancakkan ekonomi domestik dan mengurangkan pengaliran keluar wang.

Daripada sudut ekonomi, mengapakah sektor perladangan paling banyak menerima tenaga kerja luar?

Sektor perladangan terdiri daripada kelapa sawit, getah dan koko. Jumlah keluasan adalah dianggarkan 7.14 juta hektar.

Untuk kelapa sawit sahaja, jumlah keluasan melebihi 5.8 juta hektar dengan nilai eksport lebih daripada RM70 bilion.

Dengan jumlah keluasan ini, sektor perladangan memerlukan ramai pekerja.

Untuk semua sektor perladangan, Malaysia berdepan kekurangan lebih 500,000 pekerja sektor perladangan komoditi dengan anggaran masing-masing 220,00 pekerja tempatan dan 265,397 pekerja asing berdaftar bagi sektor terbabit setakat ini.

Apakah ia bermotifkan kepada upah rendah?

Ya, sudah pasti. Kadar upah yang rendah mengakibatkan tenaga kerja tempatan kurang berminat untuk bekerja di sektor berkenaan.

Berbanding tenaga kerja asing, mereka lebih memanfaatkan upah itu atas dasar pertukaran nilai wang dan sebagainya.

Cara untuk menarik minat orang kita ini adalah meningkatkan kadar upah sejajar dengan keadaan semasa supaya wujud penarikan tenaga kerja tempatan untuk sektor itu.

Menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), apakah masa depan sektor pertanian dan potensinya daripada sudut ekonomi?

Daripada segi pengeluaran, sektor pertanian di Malaysia secara amnya terbahagi kepada dua subsektor iaitu tanaman komoditi dan subsektor makanan.

Kedua-dua sektor ini menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, pendapatan eksport, pekerjaan dan input kepada sektor industri asas tani.

Salah satu faktor untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian adalah melalui penggunaan teknologi.

Contoh teknologi seperti mekanisasi, sensor, dron, penjejakan cuaca, automasi, pertanian menegak, kecerdasan buatan, nano teknologi, teknologi GPS pertanian, robotik dan pertanian tepat.

Sumbangan sektor pertanian secara keseluruhan dalam ekonomi negara atau KDNK?

Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK daripada segi peratusnya akan menurun apabila sesebuah negara itu menuju ke negara bertaraf perindustrian.

Ia turut membabitkan Malaysia. Buat masa ini, sumbangan sektor pertanian adalah dalam lingkungan 7.5 peratus.

Daripada segi nilainya, ia bertambah. Ini berlaku kerana skop sektor pertanian sampai di ladang sahaja.

Jika skop pertanian mengambil kira perniagaan tani termasuk aktiviti hiliran, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK termasuk aktiviti hiliran dalam lingkungan 20 peratus.

Jika sektor pertanian didominasi pekerja tempatan, apakah wujud impak ekonomi secara keseluruhan?

Ini akan menaikkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara daripada segi kesan pengganda. Ia akan menambahkan peluang pekerjaan daripada segi backward linkages dan menambahkan perbelanjaan pengguna di dalam negara daripada segi forward linkages.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 7:30 AM