ZURAIDI (kiri) pada sidang media, semalam.
ZURAIDI (kiri) pada sidang media, semalam.
Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Permohonan untuk pengambilan pekerja warga Bangladesh bukan bersifat mencari keuntungan semata-mata, tetapi disebabkan keperluan mendesak dalam bidang industri tertentu termasuk sektor 3D berikutan kekurangan tenaga kerja tempatan.

Berikutan itu, Kumpulan Pengusaha-Pengusaha Kilang dan Sektor 3D Wilayah Utara memohon kerajaan untuk mempertimbangkan semula tindakan penangguhan berkenaan kerana secara tidak langsung memberi masalah kepada operasi mereka.

Jurucakapnya Datuk Zuraidi Rahim berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan pekerja tempatan dalam bidang industri seperti didakwa segelintir pihak, malah mereka turut diberi gaji dan pelbagai insentif tinggi jika dibandingkan dengan pekerja asing.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat keperluan kritikal berhubung pengambilan tenaga kerja asing terbabit untuk memastikan operasi kilang dan sektor 3D tidak terus berdepan masalah selain usaha untuk mengembangkan perniagaan.

“Kami menafikan meminggirkan pekerja tempatan, tetapi sebenarnya mendapati mereka kurang minat untuk mencari pekerjaan dalam bidang ini walaupun ditawarkan gaji dan insentif menarik.

“Sekali pun ada pekerja tempatan yang berminat, namun mereka tidak mampu bekerja dalam tempoh panjang (sehingga 12 jam) seperti pekerja warga asing, di samping sukar memberi fokus sepenuhnya kepada kerja yang dilakukan.

“Justeru, saya berpendapat pengambilan pekerja warga asing ini amat diperlukan kerana ia adalah fenomena biasa termasuk di negara maju seperti rakyat Mexico berhijrah ke Amerika Syarikat, rakyat Poland bekerja di United Kingdon atau rakyat India bekerja di negara Teluk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri 15 wakil pengusaha kilang dan sektor 3D di sebuah hotel, di sini, semalam.

Zuraidi yang juga Pengerusi Balqis Textile & Manufacturing Sdn Bhd, berkata penangguhan pengambilan pekerja asing itu dalam tempoh panjang akan menyulitkan operasi sektor industri sekali gus mampu menjejaskan ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:27 AM