Kakitangan Pusat Pemeriksaan kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Mohd Hafizi Abd Razak (kanan) memeriksa tayar bas ekspres bersama anggota JPJ di Terminal Bas Lembah Sireh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kakitangan Pusat Pemeriksaan kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Mohd Hafizi Abd Razak (kanan) memeriksa tayar bas ekspres bersama anggota JPJ di Terminal Bas Lembah Sireh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


PENYAMARAN anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai penumpang bas ekspres mendapati empat kesalahan dicatatkan sepanjang operasi sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Kesalahan dilakukan adalah memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Pengarah JPJ Kelantan, Mahassan Mustapa berkata, 10 penyamaran termasuk penyamaran bergambar dilakukan sepanjang operasi yang dijalankan dari 29 Mei lalu dan berakhir malam tadi.

“Seramai 20 anggota JPJ ditugaskan membuat penyamaran sebagai penumpang bas ekspres iaitu dua orang setiap perjalanan secara bergilir.

“Hanya empat kesalahan dicatatkan iaitu memotong di garisan berkembar dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit dan pemandu diberikan Notis Saman JPJ (P22),” katanya ketika ditemui di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu malam tadi.

Beliau ditemui selepas program Advokasi dan penutup Operasi Hari Raya Aidilfitri dengan kerjasama Syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad, Ekspres Perdana dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau turut mengagihkan sumbangan daripada dua syarikat bas ekspres itu kepada penumpang dalam bentuk makanan ringan dan air kotak sebagai bekal dalam perjalanan.

Mahassan berkata, sepanjang operasi 16 hari itu pihaknya menjalankan pemeriksaan di depot serta terminal bas dan secara keseluruhan 324 bas ekspres diperiksa.

“Daripada jumlah itu hanya empat bas ekspres saja yang perlu dijalankan penambahbaikan dari segi teknikal dan JPJ memberikan tempoh tujuh hari kepada pengurusan untuk menyelenggara,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan untuk operasi itu, 5,020 pemeriksaan kenderaan dilakukan dan 1,125 kesalahan dikenal pasti dilakukan pengguna jalan raya.

“Kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah tiada lesen memandu iaitu 335 saman diikuti lesen kenderaan motor tamat tempoh 250 saman.

“Angka ini meningkat berbanding tahun lalu selari dengan pertambahan bilangan kenderaan yang diperiksa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 11:10 AM