Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman dan notis kepada 24,708 kenderaan dalam tempoh enam hari penugasan Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2022, antara 25 hingga 30 Januari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, daripada angka itu, sejumlah 15,292 Notis P22 iaitu notis arah periksa dikeluarkan serta 2,328 kesalahan melebihi had laju dikesan melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).

"Dalam tempoh enam hari operasi yang membabitkan keanggotaan seramai 2,200 itu, sebanyak 67, 265 kenderaan diperiksa.

"Kesalahan paling tinggi dikesan adalah tiada lesen memandu dan tamat tempoh iaitu 4,471, diikuti lesen kenderaan motor tamat tempoh atau tiada perlindungan insurans dengan 3,702 notis saman dicatatkan.

"Kami juga mengesan empat pemandu bas yang gagal pemeriksaan saringan urin iaitu disyaki terbabit dengan pengaruh dadah dan siasatan lanjut akan diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan," katanya ketika sidang media di terminal bas Lembah Sireh di sini, malam tadi.

Zailani berkata, tujuh strategi utama dirangka sempena Op TBC 2022 yang akan berakhir pada 8 Februari ini antaranya memberi fokus kepada pemeriksaan bas di depoh dan terminal, rondaan di lebuh raya dan jalan utama, penguatkuasaan khas motosikal serta penyamaran anggota sebagai penumpang bas.

Menurutnya lagi, penguatkuasaan yang lebih tegas akan dikenakan untuk sembilan kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, lorong kecemasan dan barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, membawa lebih muatan serta muatan bahaya.

"Sehubungan itu, sepanjang Op TBC 2022 ini, kami akan membuat rondaan selama 16 jam bermula 8 pagi sehingga 12 tengah malam dengan menggunakan kenderaan penguatkuasa.

"Selain itu, pemeriksaan bas di terminal dan depoh juga akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penumpang kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas ekspres," katanya.

Terdahulu, beliau yang diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, hadir di terminal bas Lembah Sireh bagi pemantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 9:55 AM
DATUK Zailani Hashim (dua kanan) diiringi oleh Datuk Shafien Mamat (kiri) diberi penerangan oleh Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika melakukan pemeriksaan tayar
DATUK Zailani Hashim (dua kanan) diiringi oleh Datuk Shafien Mamat (kiri) diberi penerangan oleh Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika melakukan pemeriksaan tayar