Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara terkenal, Sharnaaz Ahmad tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, bagi menghadapi pertuduhan berkaitan menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut, pada Jun tahun lalu.

Sharnaaz yang memakai kemeja berwarna biru gelap tiba pada 9.34 pagi, dengan diiringi dua peguam bela.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 38 tahun itu akan berdepan pertuduhan mencederakan orang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Sharnaaz akan dituduh di mahkamah pada 9 pagi," katanya kepada pemberita.

Pada 16 Jun tahun lalu, Sharnaaz ditahan selepas dipercayai menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut, di sini.

Eng Lain dilaporkan berkata, suspek ditahan selepas mangsa yang juga penghuni kondominium tampil membuat laporan polis mendakwa dipukul suspek, dan lebam di mukanya.

Beliau dipetik berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.

Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan di kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.

Kebetulan ketika kejadian itu, pelakon terbabit yang melihat insiden datang menegur mereka, sebelum dia kemudian didakwa bertindak menumbuk mangsa.

Berikutan kejadian, pelakon itu direman tiga hari sebelum dibebaskan.

Shahnaz Ahmad ketika hadir ke mahkamah. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Shahnaz Ahmad ketika hadir ke mahkamah. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 9:56 AM