Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Wan Apandi Wan Hassan (tiga, kanan) bercakap pada sidang media berhubung kejayaan JKDM Pahang menumpaskan aktiviti sindiket penyeludupan rokok tidak berkastam bernilai RM2,169,280 di Pejabat JKDM Temerloh hari ini. FOTO BERNAMA
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Wan Apandi Wan Hassan (tiga, kanan) bercakap pada sidang media berhubung kejayaan JKDM Pahang menumpaskan aktiviti sindiket penyeludupan rokok tidak berkastam bernilai RM2,169,280 di Pejabat JKDM Temerloh hari ini. FOTO BERNAMA
Amir Hamzah Nordin

Temerloh: Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas 2,860,000 batang rokok seludup bernilai keseluruhan lebih RM2.1 juta di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di Kilometer 129.7, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat sini, 5 Januari lalu.

Ia adalah rampasan terbesar membabitkan sindiket penyeludupan rokok di Pahang setakat tahun ini.

Pengarahnya, Wan Apandi Wan Hassan berkata, rokok terbabit ditemui dalam lori yang ditahan di kawasan parkir R&R berkenaan.

Ketika ditahan, ia dalam perjalanan dari sebuah negeri di pantai timur menuju ke Kuala Lumpur.

"Kami melakukan pemeriksaan terhadap lori dan menemukan seorang lelaki berusia 50-an dalam keadaan mencurigakan di tempat duduk penumpang.

"Pemeriksaan seterusnya menemukan rokok terbabit," katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Temerloh hari ini.

Kata beliau, lelaki warga tempatan terbabit ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

"Barangan rampasan itu dibawa ke stor Cawangan Penguatkuasaan Temerloh untuk siasatan lanjut," katanya.

Wan Apandi berkata, lori terbabit juga menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubung 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 3:22 PM