Asrol Awang


Kuantan: Risikan selama seminggu berjaya mematahkan kegiatan licik sindiket penyeludupan apabila pihak berkuasa merampas rokok putih dalam serbuan pada 23 Mei lalu.

Rampasan terbabit dilakukan sepasukan anggota Jabatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang di Felda Neram Satu, Kemaman di Terengganu pada 1.30 tengah hari.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, pihaknya turut menahan lelaki yang juga pemandu lori berusia 36 tahun dalam serbuan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori terbabit dalam dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat.

"Ketika ditahan, pemandu lori berada di dalam kenderaan sedang berhenti mengisi minyak di sebuah stesen minyak.

"Hasil pemeriksaan mendapati muatan yang dibawa adalah rokok disyaki larangan import sebanyak 2.1 juta batang dengan nilai rampasan rokok dan lori dianggarkan berjumlah RM1.62 juta termasuk cukai RM1.4 juta.

"Sindiket ini menggunakan lori kanvas dan bergerak aktif pada waktu kemuncak untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKDM Pahang Wan Apandi Wan Hassan.

ZAZULI Johan (tengah) menunjukkan sebahagian rokok putih seludup yang berjaya dirampas. FOTO Farizul Hafiz Awang
ZAZULI Johan (tengah) menunjukkan sebahagian rokok putih seludup yang berjaya dirampas. FOTO Farizul Hafiz Awang

Zazuli berkata, pemandu lori terbabit kini direman selama 14 hari sehingga 6 Jun ini untuk membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

Menurutnya, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai diminta membantu memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain- lain dengan menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 12:34 PM