MELAKA, 17 Okt -- Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Sazali Mohamad (dua, kanan) menunjukkan hasil rampasan selepas sidang media berkaitan rampasan rokok, arak dan beras import bernilai lebih RM10.3 juta di Wisma Kastam Ayer Keroh  hari ini. FOTO BERNAMA
MELAKA, 17 Okt -- Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Sazali Mohamad (dua, kanan) menunjukkan hasil rampasan selepas sidang media berkaitan rampasan rokok, arak dan beras import bernilai lebih RM10.3 juta di Wisma Kastam Ayer Keroh hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok, arak dan beras import yang cuba diseludup masuk ke dalam negara bernilai RM10,303,377.5 sejak April hingga 2 Oktober lalu, kata Timbalan Ketua Pengarahnya Datuk Sazali Mohamad.

Beliau berkata, rampasan berkenaan dilakukan menerusi beberapa pemeriksaan di kawasan Semenanjung terutama di Pelabuhan Klang dan ronda risik dijalankan pihaknya.

"Kami berjaya mematahkan empat cubaan menyeludup rokok putih berjumlah 11,754,000 batang, dua cubaan seludup 33,420 liter arak dan satu cubaan seludup 11,940 kilogram (kg) beras import dalam tempoh enam bulan ini menerusi risikan dilakukan pihak kami," katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan terbesar membabitkan rampasan sebuah lori bermuatan 5,084,000 batang rokok membabitkan nilai RM3,802,832 pada 3 September lalu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Ayer Keroh, Lebuhraya Utara Selatan (menghala ke selatan).

Katanya, dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, pemeriksaan ke atas lori berkenaan menemukan rokok tersebut dimuatkan ke dalam kotak-kotak berbalut plastik hitam.

"Bagi mengelak dikesan pihak JKDM, pergerakan lori dilakukan pada awal pagi dan pemandu lori berusia 40-an ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Sazali berkata, pihaknya percaya rokok dan arak diseludup dari negara jiran menerusi laluan air di kawasan pantai timur sebelum diedarkan ke kawasan selatan negara untuk pasaran pekerja warga asing.

Beliau berkata, antara modus operandi lain dikesan pihaknya termasuklah penyeludup mengikrarkan barangan diimport dengan nama barangan lain serta menggunakan premis tidak bernombor serta usang untuk menjalankan operasi pemprosesan dan pembotolan minuman keras.

Katanya, tujuh kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a), Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan boleh hubungi talian bebas tol JKDM di nombor 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 3:32 PM