Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada sidang media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada sidang media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Usul yang dibentangkan pada Perhimpunan Agung Umno 2022 tidak menyentuh berhubung pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu tiada dalam usul namun terpulang kepada perwakilan untuk membahaskannya.

"Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga menyebut beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan (dua jawatan utama dipertandingkan atau sebaliknya).

"Beliau tidak menyatakan bahawa perlu disekat orang itu atau orang ini dan beliau juga tidak nyatakan langsung jawatan itu (presiden dan timbalan presiden) tak boleh dipertandingkan.

"Mungkin diserahkan kepada perwakilan sebab usul dibawa tidak dibahaskan sama ada terima atau sebaliknya," katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bersedia bertanding sekiranya pemilihan parti itu diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan jawatan yang akan direbutnya dan memaklumkan ia perlu menunggu keputusan sama ada pemilihan akan diadakan atau tidak.

Sementara itu, ditanya kemungkinan beliau akan bertanding jawatan penting berkenaan, Dr Zambry berkata, akan mengumumkannya nanti.

"Dulu saya tanding ahli MKT, kali ini saya akan tengok macam mana kedudukannya.

"Saya ini senang saja, tiada perkara terdesak mahukan itu ini. Saya boleh jadi sebahagian team (pasukan) untuk membina semula parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 5:22 PM