Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Keputusan sama ada jawatan tertinggi Umno akan dipertandingkan atau sebaliknya bergantung kepada persetujuan perwakilan yang dijangka dicapai esok.

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil berkata, usul supaya dua jawatan utama iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 (Pau 2022), hari ini.

Katanya, usul tambahan itu dibawa oleh wakil Wanita Umno Negeri Sembilan disokong Terengganu serta perwakilan beberapa negeri lain termasuk Selangor dan Pulau Pinang.

"Kita tidak pinda perlembagaan parti yang tidak menghalang mana-mana orang (bertanding), bergantung pada persetujuan dalam dewan (Pau 2022) seperti mana usul tidak bekerjasama dengan PPBM sebelum ini.

"Kalau esok semua wakil sudah capai persetujuan maka itulah persetujuannya. Selepas itu bergantung kepada presiden," katanya," katanya dalam sidang media di Laman Media Pau 2022 di sini, hari ini.

Sementara itu, Isham berkata, setakat ini belum ada mana-mana individu yang mengumumkan mahu bertanding dua jawatan penting berkenaan.

Beliau sekali lagi meminta individu yang mahu mencabar jawatan itu supaya memaklumkan perkara itu lebih awal demi keadilan semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 8:25 PM