PERWAKILAN ketika mendengar ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Bernama
PERWAKILAN ketika mendengar ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Bernama
Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Umno sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan partinya di mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyertai pakatan lain yang Umno tiada dalam pakatan itu, akan tergugur keahliannya secara automatik.

Usul di bawah fasal 20.11 perlembagaan Umno itu diluluskan sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung Umno Khas 2022 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Usul pindaan lain yang diluluskan Pau khas juga, berkaitan fasal 8.4 perlembagaan Umno, iaitu penyertaan secara automatik Ketua Penerangan Umno Bahagian dan Ketua Penerangan sayap-sayap Umno sebagai perwakilan tetap Pau.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin ketika membentangkan usul pindaan itu menjelaskan, ia dilaksana selepas diputuskan parti serta bagi membolehkan perlembagaan Umno bersifat terkini.

"Pindaan ini dilakukan kerana kita mahu laksanakan apa yang sudah diputuskan parti dan kita mahu memastikan peruntukan dalam perlembagaan parti bersifat terkini dan selari dengan peruntukan undang-undang semasa negara," katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Kandungan pindaan baru perlembagaan iaitu fasal 20.11.1 itu antara lain menyebut - Ahli Umno itu sudah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (Dun) dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh Umno atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dun bebas.

Sementara, kandungan sedia ada di bawah fasal 20.11 sebelum ini masih dikekalkan dan kini diletakkan dibawah fasal 20.11.2 iaitu ahli Umno itu hilang keanggotaan secara automatik jika bertanding di mana-mana pilihan raya sebagai calon bebas atau calon pakatan politik yang tidak dianggotai oleh Umno.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan pindaan kepada fasal 20.11 perlembagaan parti itu bagi membolehkan ia selari dengan undang-undang bertukar parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang mula berkuatkuasa sejak Oktober lalu.

Dengan kelulusan pindaan itu, ia sekaligus dilihat boleh memberi kesan terhadap keanggotaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang sebelum ini menyertai kerajaan dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Terutama selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah sebelum ini memutuskan untuk menarik sokongan kepada Hajiji yang mengetuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan sebahagian besar Adun Umno di Sabah juga kini duduk di blok pembangkang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 1:12 PM