FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Perlembagaan Umno sudah dipinda pada 13 Januari tahun lalu bagi menghalang Ahli Parlimen parti bertindak membelakangi apa juga keputusan termasuk menyertai pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pindaan perlembagaan itu dibuat dalam Perhimpunan Agong Umno Khas Januari tahun lalu.

"Fasal 20.11 Perlembagaan Umno memperuntukkan keahlian Umno akan tergugur secara automatik sekiranya Ahli Umno yang dipilih sebagai Ahli Parlimen dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai Umno.

" Ini termasuklah menandatangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekaligus bertentangan dengan pendirian parti," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Beliau berkata, kesan daripada tergugurnya keahlian, Akta Anti Lompat Parti memperuntukkan kerusi Ahli Parlimen yang dimenangi itu akan diisytiharkan kosong bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Selain itu katanya, setiap Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) juga terikat dengan perjanjian dan akujanji yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah bahawa mereka terikat dengan bon berjumlah RM100 juta.

"Sebarang perlanggaran menyebabkan mereka wajib membayar RM100 juta kepada parti sebagaimana kes Zuraida lawan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bon RM10 juta yang ditetapkan PKR adalah sah dan wajib dibayar.

"Semua pindaan ini dilakukan kerana mengambil iktibar ketidakstabilan politik yang memudaratkan rakyat dan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018 lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 11:12 AM