JAMES Ratib. FOTO Arkib NSTP.
JAMES Ratib. FOTO Arkib NSTP.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang menentang keputusan Umno negeri menarik sokongan kepada kerajaan negeri, sedia berdepan tindakan mengikut pindaan perlembagaan parti itu yang diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu lalu.

Adun Sugut, Datuk James Ratib berkata, terserah kepada kepemimpinan Umno mengambil tindakan terhadap mereka mengikut pindaan itu yang antara lain menetapkan ahli menang pilihan raya hilang keahlian secara automatik jika menyertai parti lain.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan sama ada kedudukannya dan empat lagi Adun yang sama pendirian dengannya boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan dalam pindaan itu memandangkan mereka bertindak mempertahankan kerajaan negeri disertai Umno Sabah sebelum ini.

"Kita serahkan kepada pucuk pimpinan sama ada kami sebagai wakil rakyat yang mempertahankan kerajaan sedia ada di Sabah patut dikenakan tindakan sedangkan Umno sendiri yang menarik sokongan dari kerajaan.

"Jadi kita serahkan kepada mereka (kepemimpinan Umno) kerana mereka yang membuat usul dalam PAU. Kita akan terima apa saja keputusan yang mereka buat kerana kita ini adalah ahli parti dan wakil rakyat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

PAU Umno minggu lalu meluluskan dua pindaan perlembagaan parti termasuk membabitkan ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan pada pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya.

Pindaan Fasal 20.11 itu disesuaikan dengan peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti mengikut Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang dikuatkuasakan mulai 5 Oktober lalu.

Sementara itu, James yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah turut mengulangi pendirian mereka sebelum ini yang mempertahankan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Kita mempertahankan kerajaan yang ada pada hari ini kerana tiada masalah yang memerlukan kita mahu mengubah kerajaan. Rakyat sudah muak dengan permainan politik yang ada pada hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 8:50 PM