AHMAD (kanan) menunjukkan surat pelucutan keahlian Umno terhadap Idris dan Nor Azman ketika sidang media di Masjid Tanah, Melaka, malam tadi. FOTO SYAFEEQ AHMAD
AHMAD (kanan) menunjukkan surat pelucutan keahlian Umno terhadap Idris dan Nor Azman ketika sidang media di Masjid Tanah, Melaka, malam tadi. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Amir Mamat


Masjid Tanah: Umno mengesahkan keahlian Umno Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan tergugur secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, surat perlucutan keahlian bertarikh 5 Oktober akan diserahkan kepada kedua-dua wakil rakyat terbabit seawal-awalnya hari ini.

"Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan Umno menyatakan, seseorang ahli yang menang bertanding, tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas Dun (Dewan Undangan Negeri) atau Dewan Rakyat, akan gugur keahlian dengan sendirinya.

"Jadi jika kedua-dua fasal ini dibaca bersama, maka Datuk Nor Azman dan Datuk Seri Idris Haron tergugur dengan sendirinya sebagai ahli Umno bermula pada semalam," katanya selepas menghadiri pertemuan dengan Jawatankuasa Biro Politik Umno bahagian dalam Melaka di Kampung Pulau, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang dan Nor Azman (Pantai Kundor) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bersama dua lagi Adun Bebas dan Bersatu, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 12:02 AM