AHLI yang hadir Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
AHLI yang hadir Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Umno Sabah menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan kedudukan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang menyertai kerajaan diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ia selepas Umno hari ini sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan partinya di mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyertai pakatan lain di mana Umno tiada dalam pakatan itu, akan tergugur keahliannya secara automatik.

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menyifatkan tindakan lima Adun itu untuk tidak bersama Umno Sabah yang menarik sokongan kepada Hajiji sebelum ini sebagai di luar jangka.

"Ia (kedudukan Adun) akan ditentukan oleh parti apa yang boleh parti lakukan untuk kelima-lima yang bertindak di luar jangka itu. Kita belum sebab kita ada proses tertentu yang kita perlu ikuti," katanya ditemui media sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 di sini, hari ini.

Fasal baru perlembagaan Umno yang baru diluluskan pada perhimpunan hari ini iaitu fasal 20.11.1 antara lain menyebut, keanggotaannya tergugur secara automatik jika ahli Umno itu sudah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (Dun) dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh Umno atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dun bebas.

Isu berkaitan Umno Sabah timbul selepas lima daripada 18 Adun Umno negeri itu tidak bersetuju dengan keputusan Umno negeri menarik sokongan kepada Hajiji dan kerajaan negeri seperti diumumkan Bung Moktar, Jumaat lalu.

Usaha untuk menukar kerajaan negeri itu gagal disebabkan pendirian lima Adun terbabit, sekali gus menyebabkan tiga Adun Umno dalam kumpulan Bung Moktar termasuk beliau sendiri kehilangan jawatan menteri dalam Kabinet negeri.

Sebaliknya dua daripada mereka yang menyokong Hajiji 'naik pangkat' dalam rombakan Kabinet negeri yang diumumkan Hajiji semalam.

Mereka ialah Adun Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, menggantikan portfolio Bung Moktar sebelum ini sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah sementara ADUN Sugut, Datuk James Ratib pula naik pangkat daripada Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 2:25 PM