Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Negeri Sabah bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bertukar parti.

RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2023) itu diluluskan pada kira-kira 7 malam tadi selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga Adun yang hadir dengan seramai 13 Adun mengambil bahagian dalam perbahasan.

Keputusan itu selepas dua pengundian belah bahagian untuk Fasal 2 berkaitan pindaan Perkara 6 Perlembagaan Sabah dan pengundian bacaan kali ketiga RUU larangan bertukar parti.

Seramai 61 Adun menyokong, manakala 14 tidak bersetuju dan empat lagi tidak hadir bagi pengundian belah bahagian Fasal 2, manakala 75 menyokong dan empat tidak hadir bagi pengundian bacaan ketiga RUU larangan bertukar parti.

Tiada yang berkecuali dalam kedua-dua pengundian.

Fasal 2 dalam RUU itu adalah berkaitan pindaan Perkara 6, iaitu memotong Fasal (7) berhubung panduan Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam memilih Ketua Menteri dari parti atau gabungan yang memenangi pilihan raya.

Kelulusan RUU itu sekali gus mengulangi keputusan RUU sama yang pernah diluluskan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) lebih 30 tahun lalu.

Undang-undang melarang wakil rakyat melompat parti yang diluluskan PBS itu bagaimanapun dimansuhkan selepas diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi pada waktu itu.

Ketika membentangkan RUU berkenaan di DUN Sabah hari ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, parameter penggubalan RUU itu antaranya menetapkan bahawa peruntukan larangan Adun bertukar parti tidak akan terpakai secara retrospektif yang mana pelaksanaan enakmen akan bermula dari tarikh kuat kuasa enakmen.

Hajiji berkata, Adun yang keluar parti dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam gabungan yang sama atau berbeza akan terhenti menjadi Adun.

Beliau berkata, penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam RUU berkenaan, manakala mana-mana Adun yang bertukar parti politik atau menjadi Adun bebas akan terhenti menjadi ADUN dan perlu mengosongkan kerusi.

Katanya, ada beberapa pengecualian dalam RUU larangan bertukar parti itu termasuk Adun tidak terhenti menjadi Adun jika parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftaran.

HAJIJI ketika membentangkan pindaan RUU Perlembagaan Negeri Sabah bagi melarang Ahli Undangan Negeri Sabah melompat parti. FOTO Mohd Adam Arinin
HAJIJI ketika membentangkan pindaan RUU Perlembagaan Negeri Sabah bagi melarang Ahli Undangan Negeri Sabah melompat parti. FOTO Mohd Adam Arinin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 7:28 PM