Nor Fazlina Abdul Rahim


Tanah Merah: Lambakan durian di sekitar Jeli dan Tanah Merah menyebabkan harga raja buah itu jatuh sehingga dijual antara 50 sen hingga RM1.50 bagi sekilogram untuk harga borong.

Harga runcit pula dijual sekitar RM2 hingga RM2.50 untuk satu kg menyebabkan peniaga mendakwa, ia direkodkan paling rendah dalam tempoh puluhan tahun sehingga mereka kehilangan pendapatan.

Peniaga juga terpaksa mengambil inisiatif menghasilkan tempoyak dan lempuk durian memandangkan banyak durian yang tidak terjual selain mengelak daripada pembaziran.

Mokhtar Zakaria, 67, berkata, harga durian tahun ini adalah paling rendah direkodkan sejak 30 tahun lalu dia terbabit dalam perniagaan durian.

Dia yang mengusahakan tiga hektar kebun durian berkata, setiap hari dia memperoleh 400 kilogram (kg) sehari durian, namun hanya 200 kg yang terjual.

"Jika sebelum ini harga paling murah pun RM3 sekilogram bagi harga borong, namun tahun ini saya tidak menyangka harga jatuh sehingga RM1.50 sekilogram.

"Keadaan ini (harga jatuh) tahun ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan pemborong dari luar tidak dapat mengambil bekalan dari kami.

"Sebelum ini, untuk satu musim durian saya mampu memperoleh RM20,000, namun kini untuk dapat RM5,000 pun agak susah," katanya ketika ditemui di Kampung Lawang, di sini.

Mokhtar berharap pihak berkuasa dapat melonggarkan sekatan jalan raya (SJR) bagi membolehkan bekalan buah dapat dijual di luar Kelantan.

"Buat masa ini, hanya dua pemborong datang mengambil bekalan buah untuk di jual di luar Kelantan selain menjualnya kepada pemborong tempatan," katanya.

Peniaga, Wan Mohd Rosdi Wan Mohamad, 37, berkata, dia mengusahakan 2.4 hektar kebun durian berkata, kebunnya menghasilkan 500 kg durian sehari dengan sebahagiannya adalah durian kampung gred B.

Menurutnya, jika gred A ianya dijual dengan harga RM2, bagi gred B pula kebanyakannya tidak terjual menyebabkan dia perlu membuat tempoyak atau lempuk.

Mokhtar Zakaria, 67 menunjukkan durian kampung yang gugur di Kampung Lawang, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mokhtar Zakaria, 67 menunjukkan durian kampung yang gugur di Kampung Lawang, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Bagi buah gred B, pemborong hanya mahu mengambil dengan harga 50 sen sahaja bagi sekilogram. Keadaan ini dijangka akan terus menjunam seminggu lagi menyebabkan ketika itu harga durian memang tidak bernilai.

"Justeru, saya meminta pihak berkaitan mengambil langkah sepatutnya untuk membantu pengusaha durian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Lanas-Jedok, Zulkifli Yunus berkata, lambakan berlaku disebabkan pekebun sukar bergerak selain berlaku kemasukan durian dari Thailand.

Katanya, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) supaya membantu pekebun dengan membeli hasil buah berkenaan.

"Anggaran pengeluaran durian di Jeli dan Tanah Merah sahaja secara purata bagi satu musim adalah 20,000 tan dan kita berharap masalah yang berlaku dapat diatasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 5:09 PM