Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) Terengganu dijangka akan diadakan sebelum Jun depan.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pihaknya sebenarnya belum memutuskan lagi tarikh sebenar untuk dibuat PRN-15.

Menurutnya, pihaknya perlu melihat beberapa perkara sebelum membuat memutuskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) dilakukan.

"Saya yakin PRN-15 ini (diadakan) tidak akan sampai Jun dan dijangka diadakan seawal Mac atau selewat-lewatnya Mei ini.

"Jika tidak berlaku pada Mac ini, masa paling sesuai diadakan PRN-15 selepas Hari Raya Puasa iaitu Mei nanti," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kalendar 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu (COE 2023), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria.

Ariffin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri berkata, pihaknya juga mahu mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melihat beberapa perkara sehingga tidak mengganggu proses menunaikan ibadah haji.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan penerbangan pertama menunaikan haji pada 21 April depan di mana membabitkan lebih 600 orang sehari berangkat ke tanah suci.

"Bagaimanapun, kita tunggu saja pengumuman muktamad nanti sama diadakan pada Mac atau Mei," katanya.

Ditanya pengagihan kerusi, Ariffin berkata, perbincangan sudah diadakan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun keputusan muktamad belum diputuskan.

Menurutnya, perbincangan agihan kerusi sama dengan negeri lain dan setakat ini berjalan dengan lancar.

"Malah, Pas Terengganu juga meletakkan sasaran dan menaruh keyakinan mahu menawan semua kerusi pada PRN-15 nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 1:57 PM