Syed Saddiq.
Syed Saddiq.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka akan diberi laluan bertanding di kerusi di bandar raya ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sumber Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, rundingan agihan kerusi membabitkan gabungan itu bersama Muda akan diadakan hujung minggu ini bagi memuktamadkan kerusi bagi parti berkenaan.

"PH Johor secara dasarnya memang ada perancangan meletakkan Syed Saddiq di kerusi kawasan bandar di bandar raya ini.

"Namun kerusi kawasan mana, ia akan ditentukan dalam rundingan pusingan kedua hujung minggu.

"Syed Saddiq memang berasal dari Johor Bahru maka selayaknya dia diberikan kerusi di kawasan bandar raya apatah lagi dengan ketokohannya dalam menarik golongan muda," katanya ketika dihubungi.

Syed Saddiq hari ini dilaporkan mengesahkan Muda akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Muar itu mengesahkan demikian dalam menerusi satu hantaran video dalam Facebook miliknya, pada malam Jumaat.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu menjadikan PRN Johor sebagai pilihan raya pertama pertama Muda terbabit secara rasmi dalam politik tanah air.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) Johor bakal bertemu dengan MUDA esok untuk membincangkan kerjasama politik antara mereka.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad, pula berkata kerusi Syed Saddiq pada PRN Johor nanti, tertakluk pada rundingan pusingan kedua yang akan berlangsung esok.

"Masih belum ada rundingan mengenai di mana Syed Saddiq akan bertanding walaupun banyak khabar angin sudah kedengaran. Rundingan pusingan kedua antara PH Johor dan Muda akan berlangsung nanti, akan memuktamadkan butiran PRN terutama soal pengagihan kerusi dan calon.

"Dalam erti kata lain, jumlah 20 kerusi yang diagihkan kepada PKR dan Amanah manakala Dap dengan 16 kerusi masih belum muktamad sepenuhnya.

"PKR, Amanah dan Dap akan mengagihkan semula kerusi yang dimiliki itu kepada Muda atas semangat setia kawan berikutan parti itu menyertai khemah besar PH.

"Rundingan pusingan ketiga bersama parti lain termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan bermula sebaik komitmen mereka bersama khemah besar PH bagi menghadapi PRN Johor dimuktamadkan.

"Dijangkakan semua rundingan akan berakhir sebelum mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Februari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 12:44 PM