PULAU Sipadan di Semporna menjadi destinasi pilihan buat pelancong yang gemar dengan aktiviti menyelam. FOTO arkib NSTP
PULAU Sipadan di Semporna menjadi destinasi pilihan buat pelancong yang gemar dengan aktiviti menyelam. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Pembukaan sempadan bagi membenarkan kemasukan pelancong dari Brunei ke negeri ini dijangka bakal mempercepatkan fasa pemulihan industri pelancongan yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya menyambut baik keputusan membenarkan kemasukan pelancong dari Brunei sama ada melalui jalan darat mahupun udara.

"Keputusan itu diambil selepas negara jiran itu tidak mencatat sebarang kes positif Covid-19 sejak tujuh bulan lalu sekali gus dikategorikan sebagai negara hijau.

"Walau bagaimanapun, pengunjung perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan, iaitu syarat yang sama untuk pengunjung domestik yang mahu memasuki Sabah," katanya dalam kenyataan semalam.

Jafry berkata, pihak yakin dengan pembukaan sempadan juga, pengusaha pelancongan akan membuat persiapan sebelum mula beroperasi kembali.

"Saya yakin pengusaha industri pelancongan juga bersiap sedia untuk pembukaan semula operasi kepada pelancong dalam atau luar negara dengan menyediakan pelbagai protokol dan prosedur kesihatan serta keselamatan.

"Mengikut statistik pelancongan Sabah, jumlah pelancong daripada Brunei meningkat daripada 56,259 pelancong pada 2018 kepada 78,605 pelancong tahun lalu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun mengumumkan kerajaan memutuskan memberi kebenaran individu dari Brunei Darussalam memasuki Sabah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Keputusan terbabit diambil selepas dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 3:36 PM