Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang menumpaskan jenayah samun bersenjata api dengan mensasarkan kedai serbaneka yang beroperasi hingga lewat malam, di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di sini.

Dua suspek lelaki berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan menerusi dua serbuan berasingan pada malam ambang tahun baharu lalu di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai Bukit Mertajam.

Penahanan itu dibuat pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang susulan kejadian samun kedai serbaneka di Jalan Betik, Bukit Mertajam pada 9 Disember lalu.

Katanya, dalam kejadian jam 10 malam itu suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol turut melarikan wang hasil jualan dan telefon bimbit pekerja kedai berkenaan.

"Bertindak daripada maklumat yang diterima, satu operasi khas dilancarkan bagi mengesan suspek dan akhirnya membawa kepada tangkapan di dua lokasi berbeza pada Ahad lalu.

"Hasil daripada tangkapan itu polis merampas sepucuk pistol bersama dua kelongsong serta tiga butir peluru, sebilah parang dan dua telefon bimbit, "katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais dan Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San.

Difahamkan, ketika kejadian suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol melepaskan tembakan namun tidak mengenai dua pekerja di kedai serbaneka berkenaan.

Menurut Mohd Shuhailyi, turut dirampas ialah dua buah motosikal, sebuah kereta, empat topi keledar dan pakaian daripada kedua-dua suspek.

Katanya, kedua-dua suspek juga mempunyai rekod lampau berkait samun dan dadah.

"Mereka direman selama enam hari hingga 6 Januari ini bagi membantu siasatan.

"Dengan tumpasnya dua suspek ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun bersenjata api yang berlaku di sekitar SPT," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum gantung sampai mati dan Seksyen 8 Akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 4:52 PM
MOHD Shuhaily menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong.
MOHD Shuhaily menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong.