MOHD Afiq. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Afiq. FOTO Arkib NSTP.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) mengaktifkan Skuad Sukarelawan bagi membantu pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Presidennya, Mohd Afiq Salim berkata, ia memandangkan jumlah mangsa yang terjejas setiap tahun semakin ramai dan memerlukan perhatian pelbagai pihak.

Katanya, ia selaras dengan visi PPMM untuk membantu sedaya yang mampu menerusi pembabitan sukarelawan setempat yang akan bermula pada tahun ini.

"Ia menjadi sebahagian daripada agenda penting persatuan pada tahun ini selain meneruskan apa yang sudah pun dilaksanakan sebelum ini.

"Selain itu, PPMM juga bersedia membantu kerajaan untuk menyelesaikan isu kepenggunaan menerusi dapatan yang diperoleh sukarelawan kita di lapangan," katanya.

Mohd Afiq berkata, setakat ini, gerak kerja itu sudah pun bermula di Kelantan baru-baru ini dengan carian fakta serta mengenalpasti lokasi yang terjejas teruk.

"Program bantuan khusus untuk mangsa banjir dijalankan sejak beberapa tahun lalu dan ia diteruskan dengan memberi tumpuan kepada kawasan terjejas khususnya di Pantai timur.

"PPMM akan bergerak dengan bantuan skuad sukarelawan berkenaan bagi memastikan tiada mangsa banjir akan ketinggalan dalam menerima apa juga bentuk bantuan yang disalurkan sama ada agensi kerajaan atau swasta.

Menurutnya, ia menjadi antara agenda PPMM untuk membantu rakyat menerusi kerjasama antara NGO dan pihak swasta dengan ramai yang menyatakan minat untuk sama-sama membantu setakat ini.

"Untuk itu, peranan skuad ini lebih kepada menjadi mata dan telinga kepada PPMM untuk menyalurkan bantuan tidak kira barangan keperluan mahu pun khidmat bakti untuk kerja-kerja pembersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 9:15 PM