Sebahagian besar kawasan trek Litar Dato' Sagor tiada tayar penghadang dan ciri keselamatan yang kurang memuaskan. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Sebahagian besar kawasan trek Litar Dato' Sagor tiada tayar penghadang dan ciri keselamatan yang kurang memuaskan. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: Penganjur pertandingan 'CCT Battle of Champion', Yano Autopart menegaskan segala aspek keselamatan di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, diambil kira ketika perlumbaan semalam.

Penyelaras acara pertandingan itu, Yano Al-Mahadzir, 46, berkata pihaknya menempatkan 10 orang marshall di enam seksyen ketika perlumbaan berlangsung.

Katanya, semua marshall sudah diberikan taklimat sebelum perlumbaan bermula.

"Pada awal perlumbaan, pihak kami pastikan tiada penonton yang berada di kawasan itu (kawasan berumput di mana mangsa dan beberapa lagi penonton dalam video tular kelihatan berdiri).

"Tapi pada pusingan terakhir, mereka berlari dari kawasan tengah litar dan menghampiri kawasan berdekatan trek itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, ini adalah kali pertama insiden membabitkan kemalangan jiwa berlaku sepanjang hampir 10 tahun pihaknya menguruskan perlumbaan kereta di Litar Dato' Sagor.

"Dalam tempoh dua atau tiga tahun sekali, kami akan buat pertandingan di litar itu. Memang saya sendiri menyewa ambulans dari Teluk Intan setiap kali pertandingan dan saya berurusan sendiri dengan doktor yang juga pemilik ambulans itu.

"Ini kali pertama kami hadapi insiden sebegini. Apabila mangsa dilanggar, doktor segera buat pemeriksaan dan lakukan rawatan awal sebelum dikejarkan ke hospital," katanya.

Ditanya mengenai tayar penghadang di litar yang tidak mencukupi, Yano mengakui hal tersebut namun dia menjelaskan dia tidak menjangkakan insiden sedemikian akan berlaku.

Menurutnya lagi, syarikatnya yang berasal dari Kulim mengambil keputusan untuk mengadakan pertandingan di Litar Dato' Sagor atas faktor itu satu-satunya litar yang paling hampir dengan negeri di utara.

Sementara itu, pengendali Litar Dato' Sagor, Cilik Motorsport melalui wakilnya yang hanya ingin dikenali sebagai Razali menjelaskan, bilangan tayar penghadang di litar itu masih kurang memandangkan syarikat itu baru sahaja mengendalikan litar terbabit.

"Cilik Motorsport baru sahaja menyewa Litar Dato' Sagor daripada Majlis Daerah Perak Tengah pada tahun 2022.

"Ketika kami mula ambil alih tugas sebagai operator litar ini pun, tiada tayar penghadang langsung.

"Jadi apa yang ada ketika ini kami sendiri tambah, namun saya sendiri akui ia belum mencukupi," kata Razali ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya sudah menasihati penganjur supaya menilai keadaan litar dan menambah baik faktor keselamatan sebelum pertandingan.

"Kami sudah sediakan 'grandstand', maka pastikan penonton berada di situ untuk keselamatan mereka.

"Jika tayar penghadang tidak cukup, tambah. Itu tanggungjawab penganjur," kata Razali lagi.

Ditanya mengenai insiden semalam, Razali berkata dia tidak dapat memberikan komen kerana dia sendiri tidak berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri terdahulu berkata, Litar Dato' Sagor diuruskan oleh sebuah syarikat pengendali yang menyewa dari Majlis Daerah Perak Tengah, manakala penganjur pertandingan pula menyewa dari syarikat pengendali itu.

Semalam, dua kereta Proton Satria yang menyertai perlumbaan di litar itu bergesel sebelum hilang kawalan dan satu daripadanya merempuh seorang penonton, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32.

Akibat insiden itu, Muhammad Amir yang berasal dari Taiping disahkan maut semasa menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan. Doktor mengesahkan mangsa cedera parah di kepala dan mengalami pendarahan di paru-paru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 4:45 PM