RAKAMAN sebuah kereta lumba yang hilang kawalan sewaktu perlumbaan 'CCT Battle of Champion' di Litar Dato Sagor. FOTO Ihsan FB AZ ZIGZAG
RAKAMAN sebuah kereta lumba yang hilang kawalan sewaktu perlumbaan 'CCT Battle of Champion' di Litar Dato Sagor. FOTO Ihsan FB AZ ZIGZAG
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan akan menunggu hasil siasatan polis membabitkan insiden pertandingan 'CCT Battle of Champion' di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak hingga menyebabkan seorang penonton maut.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, penganjuran pertandingan seumpama itu harus meletakkan keselamatan sebagai keutamaan bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

"Saya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban.

"Persekitaran yang selamat membabitkan penonton dan peserta adalah keutamaan dalam apa jua sukan. KBS akan menunggu siasatan lanjut daripada polis untuk tindakan susulan," katanya, menerusi kenyataan di Twitter.

Terdahulu, seorang pengusaha bengkel kenderaan maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan 'CCT Battle of Champion'.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, dari Taiping, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan di paru-paru.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata terdahulu dua kereta lumba jenis Proton Satria dipercayai hilang kawalan selepas bergesel ketika menghampiri garisan penamat.

Mengikut rekod, Litar Dato' Sagor diuruskan oleh sebuah syarikat pengendali yang menyewanya daripada Majlis Daerah Perak Tengah, manakala penganjur pertandingan semalam pula menyewa daripada syarikat pengendali itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 8:07 PM