GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Pemberian subsidi bersasar berdasarkan kuasa kudu (cc) kenderaan menggunakan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dianggap kurang adil.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, ini kerana pada zaman kini kebanyakan kenderaan mewah turut menggunakan cc rendah.

"Kenderaan mewah seperti Mercedes, Mini Cooper dan sebagainya kini menggunakan cc yang lebih kecil, berbanding kereta yang digunakan mereka dalam kalangan B40 yang berkemungkinan membeli kereta terpakai yang kuasanya lebih tinggi iaitu 2.4 cc. Bagaimana kita mahu ambil kira ketidakseragaman ini?

"Kalau pemberian subsidi ini mahu dilaksanakan mengikut kuasa, cc itu sendiri tidak menggambarkan kemewahan. Kereta Perodua Bezza dan Alza pun sudah mencecah 1.3 hingga 1.6 cc.

"Bagaimana perkara ini dapat diatasi dan dikuatkuasakan? Pada pandangan saya situasi ini sangat kompleks dan sukar untuk dilaksanakan. Kita kena lihat ia dengan lebih menyeluruh. Bukan sahaja ia rumit malah akan menggunakan kos yang lebih tinggi berbanding penjimatan oleh kerajaan," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Beliau berkata itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi, pada Jumaat lalu.

Salahuddin berkata, pangkalan data JPJ digunakan untuk subsidi petrol RON95 kerana kerajaan boleh kenal pasti cc kenderaan golongan sasaran untuk subsidi petrol berkenaan.

Mengulas lanjut, Baharom turut mempersoalkan sekiranya ia dilaksanakan mengikut cc kenderaan, bagaimana pula pelaksanaannya di stesen minyak sama ada akan diberikan kad khas atau sebaliknya.

"Bagaimana nak bezakan kenderaan yang patut dapat RON95 atau RON97? Satu kenderaan lebih 1,000 cc masuk ke stesen minyak dan satu lagi kenderaan 2,000 cc pula mahu mengisi minyak, adakah mereka ini akan mengisi minyak di pam yang dikhaskan?

"Saya tidak nampak lagi bagaimana cara pelaksanaan dapat dilakukan, isu subsidi minyak bersasar ini sudah banyak kali dibincangkan tetapi tidak dilaksanakan. Kalau kita luluskan satu kerangka, pelaksanaannya pula akan menimbulkan kos.

"Jadi saya rasa pelaksanaan yang diakukan kini perlu diteruskan sahaja, biar rakyat memilih mereka mahu mengisi minyak yang disubsidi iaitu RON95 atau tidak (RON97)," katanya.

Bagaimanapun, sekiranya kerajaan mahu melaksanakan subsidi kepada petroleum itu, Baharom menegaskan ia boleh dilakukan kepada kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran kebangsaan atau luar negara.

"Ini lebih mudah untuk dilaksanakan terutamanya di stesen minyak di kawasan sempadan seperti Johor, Kedah, Perlis mahupun Kelantan. Tanpa mengira cc kenderaan mereka, yang guna nombor pendaftaran luar kita suruh mereka isi minyak yang tidak bersubsidi.

"Dengan melihat nombor pendaftaran sahaja kita sudah dapat bezakan. Bila individu itu buat bayaran, pekerja stesen minyak akan lihat kepada nombor pendaftaran, jika nombor luar janganlah bagi minyak bersubsidi.

"Ada pekerja lain di stesen minyak itu, mereka juga boleh pantau dan pastikan kenderaan ini tidak mengisi minyak RON95," katanya.

Tambah Baharom, kerajaan jangan ganggu pelaksanaan subsidi minyak sedia ada dan perlu memfokuskan kepada mekanisma atau subsidi lain sahaja.

"Bagaimana kalau harga minyak turun kembali, apa kita nak buat? Adakah kita akan tarik balik kad yang diberikan? Itu sebab saya kata ianya tidak berkesan dan bukan satu langkah penjimatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 1:23 PM