DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan diharap dapat menimbang semula keputusannya melarang penuntut wanita daripada meneruskan pendidikan di universiti negara itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu perlu disemak semula kerana ia memudaratkan pembangunan pendidikan umat Islam terutama wanita pada masa hadapan.

Malah katanya, langkah itu penting bagi membolehkan setiap lapisan rakyat Afghanistan berperanan membina negara secara bersama-sama.

"Saya sangat sedih apabila mengetahui keputusan Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan mengenai pengharaman wanita dari institusi tinggi Afghanistan baru-baru ini.

"Saya sudah menulis surat kepada Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan, Neda Mohammad Nadeem, dan menyampaikan perkara sama melalui Duta Besarnya di Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar, untuk menyemak semula keputusan itu.

"Saya telah berkongsi dengan Yang Berhormat Menteri, antara lain, pengalaman dan amalan negara kita di Malaysia yang menghormati wanita kerana menyumbang kepada agenda pembangunan negara kita.

"Malaysia sudah membuktikan bagaimana wanita meningkatkan reputasi negara melalui pendidikan yang mantap dengan memanfaatkan bakat dan kemahiran wanita Islam Malaysia sebagai rakan kongsi dalam pelbagai industri. Malah peranan wanita di negara kita diiktiraf kerana telah membantu untuk ekonomi negara berkembang untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 21 Disember lalu, Taliban dilaporkan melarang penuntut wanita daripada meneruskan pendidikan universiti, berkuat kuasa serta-merta.

Berdasarkan surat dikongsikan oleh jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi, Ziaullah Hashmi, universiti swasta dan awam perlu melaksanakan larangan itu secepat mungkin serta memaklumkan kepada kementerian sebaik larangan itu dilaksanakan.

Larangan universiti itu dibuat beberapa minggu selepas gadis Afghanistan mengambil peperiksaan tamat pengajian tinggi mereka, walaupun mereka sebelum ini diharamkan dari bilik darjah sejak Taliban mengambil alih negara tahun lalu.

Taliban turut mengharamkan kanak-kanak perempuan dari sekolah rendah dan sekolah menengah, menyekat wanita daripada kebanyakan pekerjaan serta mengarahkan mereka memakai pakaian yang menutup dari kepala hingga ke kaki di khalayak ramai.

Wanita juga dilarang mengunjungi taman permainan dan gimnasium.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, beliau percaya jika wanita Afghanistan diberikan akses kepada pendidikan, mereka juga mampu menjadi aset berharga kepada negara itu.

Katanya, itu kerana peranan wanita penting dalam membantu membina daya tahan, kestabilan dan perpaduan sosial yang kukuh ke arah pembinaan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 7:34 PM