ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah motosikal jenis Honda dalam kemalangan di KM 26.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Gombak, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah motosikal jenis Honda dalam kemalangan di KM 26.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Gombak, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Seorang individu melecur selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer (KM) 26.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.15 petang.

"Enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan kebakaran membabitkan sebuah motosikal jenis Honda yang terbakar sepenuhnya akibat kemalangan.

"Difahamkan kemalangan itu membabitkan lima mangsa termasuk seorang daripadanya yang melecur kerana kebakaran itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua mangsa dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah ibu negara perlahan lebih lapan kilometer akibat kemalangan lima motosikal berkuasa tinggi di KM 26.5, hari ini.

Sebelum ini, tular beberapa gambar dan rakaman video membabitkan kemalangan itu di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 5:08 PM