LOKASI kemalangan membabitkan dua beradik berkenaan. FOTO Ihsan Polis
LOKASI kemalangan membabitkan dua beradik berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Wanita meninggal dunia, manakala adik lelakinya pula parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 53.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu ketika kedua-dua mangsa berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Raub, jam 5.30 petang semalam.

Katanya, ketika kejadian, motosikal itu ditunggang mangsa wanita berusia 22 tahun dan dibonceng adik lelakinya berusia 15 tahun.

"Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian mendapati motosikal dinaiki mereka hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kiri.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, Farah Amira Samsuri, disahkan meninggal dunia di lokasi, akibat parah di kepala.

"Pembonceng motosikal itu pula dilaporkan cedera parah dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu berhati-hati serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 8:38 AM