ANTARA warga asing yang ditahan. FOTO ihsan APMM
ANTARA warga asing yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan 11 warga asing menerusi dua operasi Op Tanjung berhampiran Pulau Kendi, di sini, Khamis dan Sabtu lalu.

Pengarah APMM Negeri Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pada 22 Disember, pihaknya menahan bot nelayan tempatan dikendalikan lima kru warga asing 14 batu nautika barat Pulau Kendi pada 4.17 petang.

"Pemeriksaan mendapati bot nelayan berkenaan dikendalikan lima kru terdiri daripada tiga warga Myanmar dan dua Thailand berusia antara 19 hingga 52 tahun.

"Mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja manakala bot nelayan tempatan itu didapati berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Sementara itu menerusi operasi kedua, 24 Disember lalu, Abd Razak berkata, pihaknya menahan bot nelayan Indonesia 52 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada 12.10 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan yang berpangkalan di Belawan, Indonesia itu mendapati ia dikendali enam kru berusia antara 24 hingga 42 tahun.

"Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia," katanya.

Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 12:08 PM