Bot pukat tunda kelas C yang digunakan 19 warga asing dirampas Maritim Malaysia. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA.
Bot pukat tunda kelas C yang digunakan 19 warga asing dirampas Maritim Malaysia. FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA.
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Seramai 19 warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika mengendalikan sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan 6.4 batu nautika barat Sungai Tiang, di sini jam 1 petang semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup, berkata bot yang dinaiki tiga kru warga Thailand dan 16 kru warga Myanmar berumur lingkungan 21 hingga 52 tahun itu ditahan bot peronda Maritim Malaysia semasa rutin Op Pintas, Op Sayong, Op Tanjung dan Op Tiris.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan dokumen serta tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua nelayan ditahan, bot berserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk diserah kepada pegawai penyiasat bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 1:45 PM