Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bot bersama empat nelayan warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang kira-kira 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi 1.10 tengah hari Jumaat lalu, kerana disyaki menceroboh perairan negara.

Pengarah APMM Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendali empat lelaki kru warga Indonesia termasuk tekong.

"Mereka berusia antara 27 hingga 47 tahun serta didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, sebelum itu pihaknya turut mengusir tiga bot nelayan warga Indonesia antara 7 hingga 8 pagi, pada hari yang sama.

Katanya, mereka dikesan berada pada kedudukan kira-kira 80 batu nautika dari barat Pulau Kendi iaitu kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.

"Bot bersama kru termasuk tekong dibawa masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban bagi diserah kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 2:53 PM