NORAZIZI mengalami kemerosotan lebih 80 peratus sejak jalan Batang Kali-Genting ditutup bagi laluan kenderaan awam. FOTO Sudirman Mohd Tahir
NORAZIZI mengalami kemerosotan lebih 80 peratus sejak jalan Batang Kali-Genting ditutup bagi laluan kenderaan awam. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir


Hulu Selangor: "Sejak jalan tutup akibat tanah runtuh, nak dapat RM100 sehari pun susah."

Demikian kata peniaga kedai makan dan lemang, Norazizi Muhammad Nor, 45, apabila pernigaannya mengalami kemerosotan lebih 80 peratus sejak jalan Batang Kali-Genting ditutup bagi laluan kenderaan awam.

Ia susulan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, di sini, 16 Disember lalu.

Norazizi atau Uncle Bob Sg Kodongdong berkata, sejak beberapa hari lalu dia hanya mendapat pelanggan dalam kalangan anggota tentera (ATM) yang berkampung di Kawasan Rekreasi Sungai Kedongdong bersebelahan dengan kedainya.

"Kalau jalan di sini tutup setahun tak tahulah apa nasib kami. Sejak awal kejadian hingga jalan tutup kepada awam, kedai masih buka tapi yang datang makan hanya askar. Orang luar tak ada.

"Soal pendapatan memang agak teruk. Pengurangan lebih 80 peratus. Dulu kalau hujung minggu untuk pisang goreng saja boleh dapat mencecah RM400. Macam lemang pula memang tak buka langsung dah. Sebab siapa nak beli? Hari biasa boleh dapat RM500.

"Perniagaan di sini diusahakan bersama adik-beradik lain. Selain pisang goreng dan lemang, kami juga menjual keropok lekor, cendol dan nasi berlauk," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya yang sudah berniaga sejak 2007, kedai makan diusahakan menjadi tumpuan pengunjung yang datang berkhelah selain mereka yang menggunakan jalan itu.

"Laluan ini memang digunakan untuk pergi ke Genting, Pahang, Terengganu dan Perak. Jadi, ramai yang akan singgah.

"Malah, di sebelah kedai ini pula ada pusat yang mana sekarang pun sudah tutup. Kalau buka mungkin ada juga pembeli tapi sejak dah tutup memang tak ada," katanya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan penutupan jalan B66 Batang Kali-Genting selama setahun susulan tragedi tanah runtuh di sini yang meresahkan banyak pihak terutama peniaga dan pengusaha hotel di Batang Kali, selain mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja di Genting Highlands.

Kemudian, semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyatannya berkata, jalan itu akan diperbesarkan dan dibuka semula pada awal atau pertengahan bulan hadapan.

Beliau berkata, ia adalah hasil perjumpaannya dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 4:18 PM