GAMBAR fail, tragedi tanah runtuh di Batang Kali.  FOTO Bernama
GAMBAR fail, tragedi tanah runtuh di Batang Kali. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa pada 16 Disember tahun lalu berpunca daripada hujan lebat yang kemudiannya menyebabkan kegagalan cerun.

Dapatan itu didedahkan menerusi laporan forensik tragedi tanah runtuh Batang Kali yang didedahkan kepada umum, hari ini.

Hasil siasatan juga menunjukkan tanah runtuh skala besar itu berlaku dalam dua peringkat, iaitu dalam bentuk kegagalan toe rotational slide dan gelongsoran serpihan terdiri daripada tanah, batu, dan pokok.

Kegagalan cerun yang pertama (toe rotational slide) bermula dari kaki cerun dalam lot persendirian milik Malaysia Botanical Gardens Resort (MBGR).

"Analisis yang dijalankan mempertimbangkan data hujan dan tanah dan mendapati dimensi zon runtuh adalah kira-kira 120 meter (m) panjang dengan purata kedalaman 14m.

"Ia meliputi pinggir Jalan B66 (Jalan Batang Kali-Genting Highlands), membabitkan kawasan rizab jalan, hutan simpan, dan sebahagian lot persendirian dimiliki oleh MBGR," katanya.

Katanya, semasa kegagalan cerun berlaku, struktur cerun mengalami ketepuan air tinggi dan konsistensi tanah melebihi had cecair.

"Disebabkan keadaan tanah, serpihan (tanah, batu, pokok) itu sampai ke tapak perkhemahan Riverside (di sektor C) yang terletak kira-kira 550m dari pinggir jalan.

"Selepas itu, serpihan yang terdiri daripada tanah, batu, dan pokok daripada jisim tanah runtuh pertama terkumpul di hujung cerun yang gagal, membentuk seperti 'empangan buatan sementara'," katanya.

Air yang mengalir dari kawasan tanah yang runtuh bersama air dari sungai sedia ada terkumpul di belakang 'empangan buatan sementara'.

Selepas 20 minit, 'empangan sementara' itu runtuh, menyebabkan tanah runtuh kedua berlaku dalam bentuk aliran serpihan, meliputi seluruh tapak perkhemahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 4:48 PM