Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian dan agensi kerajaan perlu menghentikan penganjuran majlis besar-besaran untuk mengelak pembaziran perbelanjaan Kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia termasuk pembelian pakaian baharu bagi sesuatu majlis atau program yang dilaksanakan.

Beliau berkata, jika amalan itu dapat dihentikan, peruntukan berkenaan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

"Setiap agensi perlu mengurangkan pembaziran... menghentikan pembaziran. Mengurangkan acara-acara yang meriah dan megah.

"Ada jabatan-jabatan umpamanya, tiap kali majlis atau perayaan, akan ada pakaian baharu, batik baharu dan beberapa persiapan baharu. Saya katakan, kita akan hentikan amalan ini," katanya ketika Merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Anwar berkata, jika pun penganjuran majlis atau acara akan membabitkan pembelian pakaian baharu ia boleh diedarkan kepada kakitangan gred rendah sahaja.

Katanya, pakaian berkenaan tidak seharusnya diberikan kepada dirinya, menteri mahupun Ketua Setiausaha Kementerian.

Perdana Menteri berkata, biarpun tindakannya tidak menerima kereta mewah mahu pun mengambil gaji diremehkan, ia mampu memberi impak kewangan yang besar jika dihimpunkan.

"Ada orang kata saya tolak (kereta) Mercedes perkara kecil. Saya tak ambil gaji perkara kecil tapi semua yang kecil ini termasuk amalan memberikan hadiah kepada pembesar yang datang, tukar batik atau sampin atau pakaian pada setiap majlis kalau tukar ini semua, saudara, yang kecil-kecil ini bergulung lautnya dan dapat dipulangkan kepada rakyat termiskin," katanya.

ANWAR ketika berucap di Majlis Perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di Dewan Perdana, PICC. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
ANWAR ketika berucap di Majlis Perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di Dewan Perdana, PICC. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 8:46 PM