ANWAR ketika berucap di Majlis Perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di Dewan Perdana, PICC. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
ANWAR ketika berucap di Majlis Perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di Dewan Perdana, PICC. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kelulusan melalui tender terpilih yang dilaksanakan kepada projek pengurusan banjir bernilai RM15 bilion yang diluluskan pentadbiran terdahulu, berjaya membawa penjimatan sehingga RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sudah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan proses tender pilihan tanpa melengahkan usaha untuk menangani isu banjir di negara ini.

Menurutnya, proses berkenaan dilaksanakan terhadap projek pengurusan banjir bernilai RM15 bilion itu yang sebelum ini dilaksanakan secara rundingan terus tanpa tender.

"Peruntukan RM15 bilion rundingan terus tanpa tender kosnya melambung tapi dalam (tempoh) seminggu saya arah Kementerian Kewangan runding semula dengan syarikat melalui proses tender terpilih kos RM15 bilion itu dikurangkan... RM1.8 bilion dapat diselamatkan.

"Bayangkan RM1.8 bilion boleh diselamatkan daripada projek RM15 bilion.

"Ini isu tatakelola baik, pimpinan harus pastikan jangan ada ketirisan, bukan soal politik tetapi soal rakyat. RM1,8 bilion kalau dipulangkan kepada penjaja bayangkan. Itu contoh saja," katanya ketika Merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Anwar berkata, biarpun bencana banjir sebahagiannya berpunca daripada faktor luar kawalan seperti monsun, air pasang serta hujan berlebihan, sebahagian lagi akibat kelemahan dalam pengurusannya.

Beliau berkata, ada projek seperti tebatan banjir di Sungai Golok sudah berpuluh tahun dilaksanakan namun masih belum selesai.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar sudah mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion daripada keseluruhan RM15 bilion projek pengurusan banjir tidak diteruskan.

Beliau berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 2:53 AM