TANGKAP layar video memaparkan kemalangan membabitkan penghantar makanan yang dilanggar sebuah kereta di Jalan Sutera Tanjung, Taman Sutera Utama. FOTO Tular
TANGKAP layar video memaparkan kemalangan membabitkan penghantar makanan yang dilanggar sebuah kereta di Jalan Sutera Tanjung, Taman Sutera Utama. FOTO Tular
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis giat mengesan pemandu sebuah Proton Wira yang disyaki melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal di Jalan Sutera Tanjung, Taman Sutera Utama di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, sehingga kini pemandu kereta yang juga seorang lelaki itu juga belum tampil membuat laporan polis.

Bagaimanapun, katanya, Proton Wira dalam insiden itu yang disahkan adalah kenderaan curi sudah ditemukan ditinggalkan di tepi Jalan Persiaran Scientex Utama, Senai, hari ini.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 8 malam semalam. Kereta itu melanggar penunggang motosikal Honda Wave yang berhenti di persimpangan jalan sebelum terus melarikan diri dengan memandu secara melawan arus.

"Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian belakang badan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Proton Wira itu dilaporkan hilang di kawasan Pelangi Indah kelmarin dan ditemukan kira-kira jam 10 pagi tadi tanpa pemandu.

Katanya, kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, manakala bagi kesalahan jenayah, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, satu video berdurasi 45 saat tular di media sosial memaparkan kemalangan membabitkan seorang penghantar makanan yang dilanggar sebuah kereta sebelum pemandu kereta itu melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 7:07 PM