BERNAMA

Johor Bahru: Polis menahan seorang juruhebah bebas Sabtu lalu, bagi membantu siasatan kes langgar lari menyebabkan penunggang motosikal rakyat Singapura maut di KM9, Jalan Johor Baharu-Kota Tinggi, 5 Jun lalu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Johor, Superintendan Baharudin Mat Taib berkata usaha mengesan lelaki berumur 32 tahun itu giat dijalankan sebelum polis berjaya menahannya kira-kira 4.45 pagi di sekitar Kota Tinggi.

"Mengikut keterangan awal, juruhebah bebas terbabit mengaku melanggar mangsa dan dia kini direman mulai Sabtu lalu, sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, hari ini.

Baharudin berkata dalam kejadian kira-kira 7.53 pagi, 5 Jun lalu, lelaki rakyat Singapura berkenaan, Zulkefli Yusof, 48, dikatakan dilanggar kereta Proton Waja yang berada di lorong kanan ketika cuba memasuki susur jalan.

Katanya berdasarkan siasatan, Zulkefli memasuki lorong yang betul sebelum kereta Proton Waja dari kanan melanggar motosikalnya.

“Zulkefli terjatuh ke atas jalan dan dirempuh sebuah lagi kereta dari belakang manakala motosikalnya tercampak sejauh 44 meter," katanya.

Baharudin berkata Zulkefli maut di tempat kejadian dan pemandu kereta Proton Waja yang melanggarnya, melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 6:38 PM