PENUNGGANG motosikal maut dilanggar lari di persimpangan lampu isyarat Jalan Nibong 17, Taman Daya. FOTO Ihsan Bomba
PENUNGGANG motosikal maut dilanggar lari di persimpangan lampu isyarat Jalan Nibong 17, Taman Daya. FOTO Ihsan Bomba
Omar Ahmad


Johor Bahru : Tindakan pemandu kereta melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Nibong 17 Jalan Daya, Taman Daya di sini, menyebabkan seorang lelaki maut, tengah malam tadi.

Mangsa, Iskandar Amirul Aiman Zulkafli, 23, maut di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta melarikan diri selepas kejadian dan sedang dikesan.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pada 12.05 tengah malam itu membabitkan kereta Proton Saga dan motosikal Yamaha 135 LC.

"Mangsa dari arah sebuah pasar raya di Taman Daya menghala ke Setia Indah.

"Setiba di lokasi kejadian kereta Proton Saga dipercayai melanggar lampu isyarat warna merah dan melanggar motosikal.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak di atas dan mengalami pelbagai kecederaan, sebelum disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Raub berkata, pihak polis memohon pemandu kereta terbabit dan orang awam yang melihat kejadian tampil memberi maklumat di Balai Polis Trafik IPD JBS, atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 1:42 PM