MUHAMAD Zaki menziarahi Mohd Nadzir dan isterinya, Zainun di Kampung Bendang Surau, Morak. FOTO Siti Rohana Idris
MUHAMAD Zaki menziarahi Mohd Nadzir dan isterinya, Zainun di Kampung Bendang Surau, Morak. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tumpat: Polis menunggu laporan penuh daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kejadian tiga beradik maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya akan membuat siasatan lanjut bagi melihat sama ada terdapat elemen kecuaian atau sebaliknya dalam tragedi itu.

"TNB memberi komitmen penuh dalam perkara ini dan kita akan lihat dari sudut kecuaian dan sebagainya.

"Bukan kita nak mencari kesalahan, tapi bagaimana cara untuk mengatasi, mungkin ada kelemahan yang perlu diperbetulkan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, beliau mengunjungi keluarga tiga beradik perempuan yang maut akibat terkena renjatan elektrik selepas terpegang tiang rumah jiran mereka.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada bapa tiga beradik itu, Mohd Nadzir Mohamed, 67, dan isterinya, Zainun Sulaiman, 62, sambil bertanya khabar.

Berhubung perkembangan banjir di negeri ini, Muhamad Zaki berkata, setakat ini sebanyak 138 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri ini membabitkan 27,098 mangsa.

"Mangsa banjir semakin bertambah dan dijangka air dari Kuala Krai akan turun ke Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas, manakala di negara jiran situasi banjir dikatakan sudah semakin teruk.

"Kita jangka bilangan mangsa akan terus bertambah, namun kekuatan di pihak polis masih terkawal dan kita harap kerjasama dari semua pihak berjalan dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 4:28 PM