NORA (tengah) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Jenazah kepada Mohd Nadzir ketika lawatan di rumah mereka Kampung Bendang Surau, Morak, di sini. FOTO Ihsan PERKESO
NORA (tengah) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Jenazah kepada Mohd Nadzir ketika lawatan di rumah mereka Kampung Bendang Surau, Morak, di sini. FOTO Ihsan PERKESO
Siti Rohana Idris


Tumpat: Seorang daripada tiga mangsa maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini, menerima Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah.

Ia diserahkan oleh Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob kepada keluarga Allahyarham Sakinah Mohd Nadzir, 29, dalam kunjungan beliau ke kediaman keluarga arwah, hari ini.

Nora berkata, Skuad Perkeso Prihatin mengesan maklumat keluarga dengan menghubungi Pemilik Tadika Al-Munir, Kampung Berangan iaitu tempat kerja mangsa dan semakan juga mendapati arwah Sakinah layak menerima tuntutan Pencen Penakat.

"Pencen Penakat minimum diterima adalah sebanyak RM332.50 yang akan diterima secara bulanan oleh ibu bapanya iaitu Mohd Nadzir Mohamed, 67, dan Zainun Sulaiman, 62, sehingga akhir hayat.

"Ia turut diterima oleh adik lelaki mangsa yang kini berumur 19 tahun sehingga usianya mencecah 21 tahun nanti.

"Pada masa kematiannya, allahyarham Sakinah masih bujang dan belum berkahwin sekaligus membolehkan kedua ibu bapanya layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM1,000 setiap seorang," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam kejadian pagi Isnin lalu, Sakinah bersama kakaknya, Nurul Syazwani, 33 serta adiknya, Noor Fathiah, 27, maut akibat terkena renjatan elektrik selepas terpegang sebatang tiang di rumah jirannya ketika ingin melihat air banjir.

Ketiga-tiga mereka meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian dan jenazah tiga beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak dalam satu liang lahad.

Nora mengingatkan orang ramai supaya membuat bayaran caruman Perkeso sebagai persediaan di masa hadapan.

"Betapa pentingnya untuk orang ramai membuat caruman kerana ia sangat bermanfaat apabila berlaku sebarang keuzuran, kemalangan atau kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 8:36 PM