LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis mengesahkan kematian tiga beradik di Kampung Bendang Surau, dekat Morak, Tumpat akibat renjatan elektrik susulan berlaku kebocoran pendawaian.

Kesemua mangsa berusia 27 hingga 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Mangsa yang meninggal adalah Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33; Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika kejadian jam 12.40 tengahari itu, ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang berjalan kaki mengharungi air banjir melalui hadapan sebuah rumah.

"Tiba-tiba seorang mangsa dipercayai tergelincir dan terpegang tiang rumah sebelum terkena renjatan elektrik.

"Kedua-dua kakak cuba membantu dan turut terkena renjatan elektrik itu. Ketiga-tiga adik beradik itu meninggal dunia di tempat kejadian.

"Susulan itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah dimaklumkan untuk tindakan memutuskan bekalan elektrik di tempat kejadian dan tindakan lanjut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati depan rumah mengalami banjir lebih kurang setinggi 6 inci.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita berkaitan

Nor Syazwani rebah lepas pegang tiang rumah sebelum Fatiah dan Sakinah menyusul [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 6:13 PM