Siti Rohana Idris


Tumpat: "Ramadan kali ini sangat sayu tanpa suara tiga anak perempuan kami yang kebiasaannya sangat meriah di dapur terutama ketika waktu berbuka puasa," kata Mohd Nadzir Mohamed, 68.

Dia adalah bapa kepada tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak di sini, pada 19 Disember lalu mengakui rasa kehilangan itu semakin menebal dari sehari ke sehari.

Katanya lagi, kelibat Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33, serta dua adiknya, Sakinah, 29, dan Noor Fathiah, 27, sentiasa terbayang di segenap ceruk ruang rumah mereka kerana tiga beradik itu memang menetap bersama.

"Kini Ramadan tiba, rasa rindu semakin menebal dan sangat sukar untuk saya hindarkan bayangan ketiga-tiga mereka dari fikiran walaupun berusaha untuk berlapang dada.

"Sudah tidak kedengaran lagi suara yang bertanyakan apa juadah yang saya ingin untuk berbuka puasa dan sahur, tiada lagi keriangan mereka yang pulang ke rumah dari Bazar Ramadan membimbit plastik makanan.

"Demi Allah saya sangat rindukan semua itu dan sehingga kini air mata tetap mengalir setiap kali terkenangkan mereka dan walaupun saya cuba lawan, ia tidak berhasil," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

GAMBAR tiga beradik Nurul Syazwani serta dua adiknya, Sakinah dan Noor Fathiah  yang maut akibat renjatan elektrik pada 19 Disember lalu.
GAMBAR tiga beradik Nurul Syazwani serta dua adiknya, Sakinah dan Noor Fathiah yang maut akibat renjatan elektrik pada 19 Disember lalu.

Mohd Nadzir berkata, kemeriahan Ramadan sebelum ini turut bertambah dengan kesibukan arwah Sakinah dan Noor Fathiah yang mahir membuat kuih akok, apam balik serta cara berlauk yang dihasilkan untuk jualan.

Katanya lagi, biasanya lewat tengah hari kedua-dua anaknya itu akan memulakan proses membuat kuih- muih sebelum adik lelaki mereka menghantar ke beberapa gerai sekitar kampung untuk jualan sepanjang Ramadan.

"Kali ini hanya tinggal saya dan isteri serta dua anak lelaki sahaja dan meskipun masih lagi terkesan dengan kehilangan itu, kami tetap cuba kuatkan semangat untuk melawan, Insya-Allah," katanya.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi, pada 19 Disember lalu, tiga beradik itu maut selepas terpegang sebatang tiang yang membawa arus elektrik di rumah jirannya ketika ingin melihat banjir.

Walaupun sudah lebih tiga bulan berlalu, tragedi itu masih segar di ingatan Mohd Nadzir sekeluarga tambahan pula pemergian tiga puterinya itu berlaku di hadapan mata mereka.

MOHD Nadzir menggagahkan diri untuk melihat tiang yang meragut nyawa tiga anaknya.
MOHD Nadzir menggagahkan diri untuk melihat tiang yang meragut nyawa tiga anaknya.

Mohd Nadzir berkata, sehingga ke hari ini, dia masih tidak dapat gagahkan diri untuk melihat tiang dan lokasi kejadian yang meragut nyawa tiga anaknya itu meskipun ia berlaku hanya beberapa meter sahaja dari rumah mereka.

"Setiap kali keluar dan berehat di beranda rumah, saya cuba duduk di tempat yang menghalang pandangan saya dari terarah ke lokasi dan tiang terbabit untuk mengelakkan fikiran saya terbayangkan saat ketiga-tiga anak saya bergelimpangan tidak sedarkan diri.

"Sepanjang tempoh 40 hari pemergian mereka, setiap hari saya ke kubur manakala sekarang saya hanya ke sana setiap pagi Jumaat sahaja untuk meluangkan masa selama mungkin berdoa sambil menangis mengenangkan mereka. Khamis lalu genap 100 hari pemergian ketiga-tiga anak saya dan majlis tahlil turut diadakan di masjid berhampiran rumah ini," katanya.

MOHD Nadzir akan melawat pusara anaknya setiap pagi Jumaat di Tanah perkuburan Islam Morak, Tumpat.
MOHD Nadzir akan melawat pusara anaknya setiap pagi Jumaat di Tanah perkuburan Islam Morak, Tumpat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 12:00 PM