Zaid Salim


Kemaman: Seorang ibu sarat mengandung nekad meredah belukar bersama suami dan tiga anak ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas persekitaran kediaman mereka di Kampung Teladas, di sini, ditenggelami air, malam tadi.

Nor Nadila Kamaruddin, 31, berkata, walaupun bimbang kejadian buruk berlaku berikutan hujan lebat serta petir selain persekitaran yang gelap, dia bersama suami tidak putus berdoa sebelum tiba di PPS jam 1 pagi tadi.

"Kawasan rumah saya tinggi tetapi jalan keluar dari rumah ke jalan besar rendah. Air ketika itu sudah hampir paras pinggang.

"Bimbang keadaan saya yang sarat mengandung, suami menyarankan agar kami keluar ke kawasan selamat dengan menyusuri laluan semak berhampiran rumah jam 12 tengah malam dan tiba di sini (PPS) jam 1 pagi tadi," katanya ketika di temui di PPS Dewan Sivik, Air Putih, di sini.

Nor Nadila berkata, ketika meredah belukar, dia tidak henti berdoa dan memohon agar keselamatan dia dan suami serta tiga anak berusia enam, empat dan setahun lima bulan selamat daripada sebarang kecelakaan.

NOR Nadila yang sarat mengandung bersama anaknya ketika ditemui di PPS. FOTO Zaid Salim
NOR Nadila yang sarat mengandung bersama anaknya ketika ditemui di PPS. FOTO Zaid Salim

Katanya, sebelum kejadian, suami, Syed Mohd Firdaus Syed Yusoff, 31, ke rumah ibu, Wan Kutong Wan Yacoob, 67, bagi membantu wanita berkenaan berpindah ke PPS selepas kediaman wanita terbabit dinaiki air lebih 0.5 meter.

Sementara itu, Wan Kutong berkata, dia yang patah bahu akibat kemalangan sebulan lalu nekad mengharungi air bersama suami, Kamaruddin Kassim, 65, dan anak lelaki Shahrulnizan, 42.

"Menantu terpaksa datang membantu saya kerana anak (Shahrulnizan) juga tidak sihat selepas terbabit kemalangan dua bulan lalu," katanya ditemui di PPS berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 5:55 PM