Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Rakyat bagi membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri ke-10 kecoh apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Kekecohan mula timbul apabila Shahidan bangun dan menolak usul berkenaan diadakan selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan keperluan usul undi percaya itu.

Shahidan bangun dengan menggunakan 'point of order' Aturan Mesyuarat 36 (7), mempersoalkan keperluan usul undi percaya itu dilakukan dalam Dewan Rakyat.

Shahidan: Bagi kami kalau Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dah absah pasal apa kita nak bawa mai sini lagi (kenapa usul undi percaya masih dibawa dan dibahas di Dewan Rakyat). Jadilah Perdana Menteri tak perlu absah (keabsahan).

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan kemudiannya mencelah dengan mengatakan usul itu dilakukan kerana Pakatan Harapan (PH) berani membuat usul itu bagi membuktikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Sany turut menyebut Perdana Menteri ke-8 yang merujuk kepada Tan Sri Muhyuddin Yassin ketika era pentadbirannya sebelum ini tidak mempunyai keberanian untuk berbuat demikian.

Mohd Sany: Sebab kami berani, tak macam dulu. Dulu tak berani, Perdana Menteri ke-8 dulu tak berani nak bawa. Isytiharkan darurat.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul kemudiannya meminta semua ahli Dewan Rakyat bertenang.

Kekecohan kemudiannya terus berlaku dan beberapa celahan ahli Dewan Rakyat seperti Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) dan Datuk Awang Solahudin (PN-Pendang).

Shahidan kemudian mencetuskan provokasi apabila mengeluarkan kenyataan 'kalau berani bangun...' yang dipercayai merujuk kepada Mohd Sany yang sebelum itu mengangkat sumpah dari tempat duduknya berikutan tidak dibenarkan berjalan oleh doktor selepas beliau menjalani pembedahan, minggu lalu.

Mohd Sany kemudiannya membalas beliau tidak boleh bangun sebelum berdiri dan selepas itu Johari meminta beliau kembali duduk dengan merujuk 'orang sakit duduk'.

Shahidan kemudiannya berkata, 'orang' yang baru pulang dari hospital masalah sehingga mencetuskan kemarahan Mohd Sany yang berulang kali meminta soal kesihatannya tidak dibawa dalam dewan itu selain turut meminta Shahidan menarik balik kenyataan itu.

Howard juga turut berpandangan sama dan meminta Shahidan menarik kenyataan itu.

Johari kemudiannya menenangkan situasi itu.

Persidangan itu menyaksikan seramai 12 Ahli Parlimen sedang mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:32 PM