Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Suasana Dewan Rakyat kecoh selepas Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa Jimmy Puah (PH-Tebrau) mengeluarkan kenyataan menyokong Israel.

Menurut Shahidan, beliau mendakwa kenyataan yang kononnya dibuat Ahli Parlimen kerajaan itu tular di media sosial sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat, termasuk pemimpin blok pembangkang.

Oleh yang demikian, Shahidan menggesa Dewan Rakyat mengeluarkan pendirian untuk memberi sokongan dan bersolidariti dengan Palestin yang ketika ini sedang teruk ditindas oleh rejim Zionis.

"Saya nak nyatakan biar rakyat dengar. Hari ini kanak-kanak Palestin tiap-tiap 10 minit seorang dibunuh dan sekarang ini rakyat Palestin sudah mati melebihi 8,000 orang. Saya minta supaya Parlimen membuat pendirian mengenai perkara ini.

"Jangan biarkan satu orang buat pandangan iaitu Yang Berhormat (YB) Tebrau membuat pandangan yang dia menyokong Israel. Apakah seorang saja yang membuat pendirian menyokong Israel?

"Parlimen sendiri kena buat keputusan apakah pendirian kita mengenai pembunuhan berleluasa yang sedang berlaku sekarang di Palestin. Saya minta kerajaan bawa sendiri usul untuk menyatakan pendirian kita berhubung pembunuhan dilakukan Israel.

"Tiba-tiba kita diam saja, cuma dengar satu suara saja. (YB) Tebrau kata menyokong Israel. Itu sebab saya kata kita semua rasa terkilan dengan apa yang berlaku," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

Puah lantas bangun dengan merujuk Peraturan 36(6) kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuat Shahidan kerana didakwa berbaur sangkaan jahat.

Puah menegur Shahidan bahawa tindakan itu tidak berparlimen dan berunsur fitnah kerana mengaitkan beliau dengan kenyataan menyokong Israel.

"Saya harap YB Arau boleh tarik pendirian itu. Kalau tengok media sosial... Facebook saya, saya bersolidariti dengan Palestin. katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kemudiannya memohon Shahidan menarik balik kenyataan sedemikian.

Shahidan berkata, jika Puah mengaku tidak menyatakan sokongan terhadap Israel, beliau akan menarik balik kenyataan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 1:06 PM