Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sesi petang Dewan Rakyat hari ini, panas dengan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dengan masing-masing mengeluarkan kata-kata penyangak, penyamun dan perompak.

Pertikaman lidah itu bermula semasa Shahidan yang diberi masa lapan minit membentangkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi tahun 2020.

Shahidan semasa membahaskan laporan itu mendakwa kerajaan mencabuli hak asasi manusia di mana peruntukan yang sepatutnya diperolehi oleh ahli parlimen pembangkang telah dinafikan.

Bagaimanapun, Mohd Sany kemudian mempersoalkan apa yang dinyatakan oleh Shahidan sama ada beliau telah berunding dengan kerajaan mengenai peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang itu.

Perkara itu kemudian menjadi panas apabila Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) bangkit sambil menyatakan Mohd Sany sepatutnya tidak mengganggu perkara yang dibahaskan oleh Shahidan.

Shahidan turut dilihat berang dengan tindakan Mohd Sany yang tidak mahu duduk dan menuduh Ahli Parlimen Hulu Langat itu sebagai penyamun.

"Kamu duduk. Ini nampak ini. Orang yang tidak ikut peraturan. Hari ini saya tidak akan bertolak ansur," katanya.

Mohd Sany kemudiannya menegaskan beliau akan berdiri dan selepas itu menuduh Shahidan sebagai penyangak.

"Perompak, penyangak. Bahasa Arau ini memang guna bahasa yang tak baik. Orang Selangor memang tak boleh terima orang sebegini.

"Cakap orang penyamun, siapa penyamun? Awak berkawan dengan penyamun. Kes Jana Wibawa awak tunggu. Cakap elok-eloklah sikit.

"Tak ada bahasa, tak ada adab. Dah tua tapi perangai teruk," katanya.

Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) kemudiannya bangun dan membaca peraturan dewan 35 (1) iaitu seseorang ahli apabila ingin bercakap hendaklah bangun apabila dipanggil atau diberi laluan oleh pembahas.

Beliau turut menegaskan bahawa perkara bukan kali pertama Mohd Sany berbuat seperti itu di dalam Dewan Rakyat sebaliknya berkali-kali.

"Sudah berkali-kali. Saya ingin Yang Dipertua (Tan Sri Johari Abdul) ambil tindakan sebaiknya supaya kita menjaga keharmonian parlimen ini," katanya.

Johari kemudiannya mengambil maklum dan menambah masa perbahasan Shahidan selama dua minit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 6:26 PM