SHAHIDAN (kiri) berbahas dengan Rayer menegnai usul menjunjung kasih titah ucapan diraja.  FOTO Arkib NSTP
SHAHIDAN (kiri) berbahas dengan Rayer menegnai usul menjunjung kasih titah ucapan diraja. FOTO Arkib NSTP
Maiamalina Mohamed Amin dan Suraya Roslan


PERSIDANGAN Dewan Rakyat sesi petang diserikan dengan celahan nakal Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika RSN Rayer (PH-Jelutong) membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja.

Shahidan bangun mencelah sebanyak lima kali menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) mengenai kenyataan sangkaan jahat dan Peraturan Mesyuarat 36 (12) berhubung kenyataan mengelirukan.

Dua lagi celahan beliau menggunakan ruang untuk meminta penjelasan.

Shahidan memulakan celahan menggunakan ruang meminta penjelasan tetapi diarahkan duduk oleh Timbalan Yang Dipertua Datuk Seri Azalina Othman Said selepas Rayer tidak beri laluan.

"Ya saya tahu (apabila Rayer tidak beri laluan) tapi mereka selalu buat pada saya," protes Shahidan.

Beliau bangun kali kedua menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (12) apabila Rayer dikatakan mengelirukan dewan dengan mengatakan isu Allahyarham Muhammad Adib Kassim tidak diperjuangkan kerajaan.

Shahidan bangun kali ketiga menerusi Peraturan Mesyuarat 36 (6) selepas Rayer didakwa menuduh Azalina sebagai antara nama Timbalan Yang Dipertua yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun Azalina berkata, "Yang Berhormat (YB) Arau yang dia (Rayer) sebut bukan saya. Tak apa YB (Arau), saya tidak sensitif (cepat terasa)."

Rayer kemudian memberitahu yang dimaksudkannya adalah Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Ucapan Rayer terhenti lagi apabila Shahidan bangun kali keempat mempersoalkan kenyataan Rayer mengenai lantikan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menyebabkan masalah kewangan kepada negara.

Kenyataan Rayer itu turut ditegur Azalina yang melarang tuduhan secara 'pukal'.

"Saya tarik balik, saya minta maaf. Tak ada masalah," kata Rayer.

Berikutnya Dr Shahidan mempersoalkan mengenai kenyataan Rayer bahawa kerajaan PAS di Kedah merobohkan kuil Hindu, yang kemudian dileraikan Azalina dengan meminta ia dijawab Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika penggulungan usul.

"Jangan cuba mengapi-apikan perkauman. Tak baik," kata Shahidan yang kemudian dibalas Rayer bahawa beliau bercakap mengikut fakta.

Celahan keenam Dr Shahidan memperbetulkan ayat Rayer mengenai pesisiran semenanjung yang perlu ditukar kepada pesisiran pantai Malaysia, manakala celahan terakhir ketika Rayer mengakhiri ucapannya dengan harapan Pakatan Harapan kembali memerintah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 7:16 PM