Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini kecoh seketika susulan Lim Guan Eng (PH-Bagan) didakwa menyebut nama 'Tan Sri Muhyiddin Yassin'.

Kekecohan bermula sebaik sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai membentangkan pertanyaan bagi jawab lisan.

Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) bangun sambil menyatakan mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (5), seseorang tidak dibenarkan menyebut nama Ahli Dewan lain, sebaliknya perlu menyebut nama kawasan yang diwakili.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong tidak mengendahkan perkara itu dan meminta sesi persidangan itu diteruskan kepada soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) untuk dikemukakan.

Situasi itu menyebabkan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangun dan bangkit menyuarakan bantahan.

"Yang Berhormat Speaker, peraturan mesyuarat sudah dikeluarkan, kalau tak setuju sebut tak setuju," katanya.

Alice kemudiannya membalas soalan dikemukakan dengan menyatakan sekiranya Shahidan mengetahui peraturan mesyuarat, beliau sepatutnya tidak boleh berdiri.

"Saya berdiri di bawah Peraturan 36(6). Bagan (Guan Eng) menyebut nama Tan Sri Muhyiddin.

"Dia tak boleh sebut nama begitu, (tetapi) dia kena sebut nama kawasan (Parlimen) Pagoh. Dia bersangka jahat kepada Tan Sri Muhyiddin," kata Shahidan.

Perkara itu kemudiannya mendapat reaksi Gobind dengan menjelaskan perkara yang disebutkan oleh Guan Eng adalah kerajaan seseorang.

"Apa yang disebut oleh Bagan (Guan Eng) ialah kerajaan seseorang itu, bukan nama seseorang dalam dewan ini. Apakah masalahnya? Kita nak teruskan soalan saya. Kita datang ke Parlimen, saya nak tanya soalan, saya nak minta jawapan.

"Kenapa dibiarkan begitu? Yang berdiri (Shahidan) minta panduan untuk standing order (peraturan mesyuarat), dia yang tak faham standing order. Boleh kita teruskan dengan soalan?" soalnya.

Shahidan bagaimanapun membantah dan menyatakan tidak bertanyakan soalan itu kepada Gobind.

Pertikaman lidah antara Shahidan dan Gobind itu berlangsung selama seminit apabila ia kemudiannya dapat ditenteramkan oleh Alice.

PERTIKAMAN lidah antara Shahidan dan Gobind ketika persidangan Dewan Rakyat.
PERTIKAMAN lidah antara Shahidan dan Gobind ketika persidangan Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 2:24 PM