Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Biarpun usulnya ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tetap komited mengusulkan supaya Kerajaan Perpaduan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Shahidan bangun memohon kepada Datuk Johari Abdul bagi mengemukakan usul tergempar itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat Perkara 18 (1).

Johari yang menjawab beliau sudah menolak usul Shahidan, akhirnya membenarkan Ahli Parlimen itu mengemukakan usul selepas mengambil kira perkara dibangkitkan penting untuk rakyat sebelum Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencelah ia keputusan luar biasa.

Menurut Shahidan, kerajaan perlu segera melaksanakan pengeluaran KWSP secara bersasar berikutan keadaan rakyat yang semakin terdesak dihimpit kenaikan harga barang dan kos sara hidup tinggi.

"Pencarum semakin terdesak tambahan pula harga barang semakin naik dan kos sara hidup meningkat saban hari. Ada yang terpaksa menjual harta dan tinggal sehelai sepinggang jadi sudah menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengotakan janji membantu rakyat.

"Saya rasakan isu ini perlu disegerakan untuk dibincangkan dan Kerajaan Perpaduan boleh mengambil langkah sama seperti dilakukan semasa era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dengan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar dan berperingkat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, pengeluaran itu boleh dilakukan berdasarkan Akta KWSP 1991 Seksyen 54 yang membenarkan pengeluaran caruman bagi tujuan pembiayaan kelangsungan hidup.

"Pastinya pengeluaran KWSP bersasar ketika ini menjadi kepentingan utama orang awam kerana KWSP adalah milik dan hak mereka.

"Pencarum memerlukan wang simpanan titik peluh mereka dengan segera sebelum sesi persekolahan 2023 dibuka pada 19 Mac (negeri kumpulan A) dan 20 Mac negeri kumpulan B.

"Tambahan lagi kita akan menyambut Ramadan dan Syawal sudah tentu rakyat memerlukan belanja besar di samping mengharapkan dana bantuan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, aliran wang tunai tidak menimbulkan masalah selepas melihat laporan dikeluarkan KWSP pada Disember lalu bahawa terdapat peningkatan pencarum, caruman majikan dan bilangan aktif pencarum.

Pada akhir ucapannya, beliau memohon supaya usul itu dipertimbangkan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum Johari mencelah Ahli Parlimen itu boleh mengusulkannya semula perkara itu pada sesi seterusnya pada Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 2:30 PM