Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menurun kepada 308 orang setakat jam 9 pagi ini berbanding 339 orang petang semalam.

Kesemua mangsa membabitkan 109 keluarga itu ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Kuala Krai dan Jeli.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berikutan cuaca semakin baik, dua PPS di Kuala Krai ditutup susulan kesemua mangsa dibenarkan pulang selepas banjir di kediaman mereka surut.

Jumlah mangsa di Jeli mencatatkan seramai 179 orang yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Balah.

Selain itu, jumlah mangsa di Kuala Krai seramai 129 orang yang berada di empat PPS iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chai (57), SK Biak A (26), Kolej Vokasional Kuala Krai (39) dan SK Banggol Guchil (7).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir menunjukkan tiga sungai di Kelantan melepasi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai dengan bacaan 24.50 meter (m), Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah (14.87 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (8.88 m).

Empat sungai lain melepasi paras waspada ialah Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu (3.61 m), Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (36.67 m), Sungai Lebir di Kampung Karangan (31.22 m) dan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang (59.43 m).

KOMANDER Operasi Bencana Banjir, Superintendan Suzaimi Mohammad, (kiri) bersama Ketua Seksyen Smart Team Kelantan, Inspektor Zul Khairi Idris, meninjau keadaan paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai tengah hari semalam. FOTO FATHIL ASRI.
KOMANDER Operasi Bencana Banjir, Superintendan Suzaimi Mohammad, (kiri) bersama Ketua Seksyen Smart Team Kelantan, Inspektor Zul Khairi Idris, meninjau keadaan paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai tengah hari semalam. FOTO FATHIL ASRI.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 9:17 AM